Wednesday, April 18, 2012

INGATAN BUAT PENGANTIN


INGATAN BUAT PENGANTIN:
HARI BERGEMBIRA BERTUKAR MENJADI HARI PENYESALAN


Muqaddimah
Bernikah adalah sesuatu yang menggembirakan.
Jarang orang tidak bergembira pada hari pernikahan mereka.
Masakan tidak, gelaran raja sehari disandang dan dijulang.
Bagi pasangan yang sudah lama bertunang, detik persetujuan para saksi semasa majlis pernikahan amatlah melegakan!
Kadang-kadang, keluar air mata kegembiraan dari pasangan pengantin kerana terlalu gembira telah menyempurnakan sebahagian agama dan menuruti sunnah nabi.


Seperti mana yang disabdakan oleh Nabi SAW : 
النكاح سنتى فمن رغب عن سنتى فليس منى , nikah itu adalah sunnah ku, jika sesiapa yang menolak sunnah ku, maka ia bukanlah dari golonganku.


Namun awas, jangan disangka kegembiraan menuruti sunnah nabi itu membuka jalan ke syurga semata-mata, kerana ia juga mampu mengheret kita masuk ke dalam jurang neraka yang dalam lagi menakutkan, jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diperintahkan.



Menangis bertukar gembira
Apabila dua merpati sejoli di ijab kabulkan… maka bergembiralah kedua-dua keluarga, dan menangislah sang syaitan.
Menangisnya sang Syaitan adalah kerana tertutupnya peluang kepadanya untuk memujuk si lelaki dan si perempuan melakukan zina.

Tapi, adakah anda menyangka syaitan yang menangis melihat dua orang yang bernikah itu akan lari merajuk membawa diri?
Tidak sama sekali, di hadapan sana ternanti banyak lagi perangkap untuk mereka.

Satu persatu perangkap itu mengena, dan tangisan syaitan terhenti dan diganti pula dengan ketawa yang terbahak-bahak!
Sang Syaitan ketawa kerana geli hati melihat si pasangan yang terlalu gembira hingga terlupa segala ajaran agama walaupun kedua-duanya mengaku sebagai pejuang agama.
Habis ditolak tepi agama yang selama ini menjadi perjuangan mereka.



Syariat diletak tepi, adat yang sesat dijulang tinggi.
Sang Syaitan gelak terbahak-bahak melihat aksi manja si isteri menyuapkan nasi ke mulut si suami yang hanya layak menjadi koleksi peribadi mereka berdua menjadi tontonan semua orang.

Habis ditolak tepi perasaan malu.
Malah dibanggakan pula kenangan itu dengan meng’upload’ kan pula di dalam facebook, untuk tatapan seluruh (seantero) dunia.
Kalau boleh, biar Presiden Amerika Barrack Obama tahu dia berkahwin hari itu dan makan bersuap dengan bangga.

Sang Syaitan bertambah galak gembira ketawa melihat si suami dengan ghairah mencium kepala si isteri tanpa menghiraukan ratusan mata yang menyaksikan adegan sulit ini.
Malah bangga pula mengulang adegan ini apabila diminta photographer upahan dari kedai yang berdekatan.

Diulang tayang tanpa segan, walaupun si muslimah itu dahulunya terkenal sebagai seorang yang paling pemalu dalam dunia ini.
Sang Syaitan hampir pecah perut suka sambil berguling-guling dengan adegan romantik si suami dan si isteri yang bergambar di tepi pantai, atas pokok, di sawah padi, dalam air, atas katil, tepi rumah dengan pelbagai pose yang difikirkan menarik.

Entah mana silapnya, suara lantang si suami yang beriya-iya mahu menegakkan daulah islamiah dalam liqa dan usrah yang dikendalikannya, langsung tidak berbunyi bila gambar isterinya puas di raba oleh kamera orang yang bukan mahram.
Segala sisi bentuk isterinya habis dilapah oleh si photographer yang kemudiannya menguploadkannya di laman web untuk ditatap oleh seluruh isi dunia.
Sang Syaitan kembali suka kerana berjaya memujuk si isteri yang terkenal dengan kepakaran membimbing usrah dan tamrin serta kuat berdakwah untuk bersolek dengan tebal.

Habis hilang prinsip bersolek hanya untuk suami yang dijajanya kesana kemari di alam kampus dahulu.
Kening dicukur sedikit, gincu dilanyak atas bibir, eye shadow, blusher, powder, maskara dan segala macam perhiasan bertenggek di mukanya.

Itu belum dicampur dengan minyak wangi yang menarik perhatian segala makhluk yang ada di persekitarannya.
Bila ditanya mengapa berbuat demikian, jawapan acuh tak acuh diberikan.. mak yang suruh.

Itu belum dikira dengan majlis persandingan serta suasana majlis perkahwinan yang begitu mewah dan membazir.
Syaitan kembali tersenyum gembira.



Gembira bertukar Menyesal
Kadangkala, apabila sudah menjadi kebiasaan kita melakukan sesuatu perkara, tiba tiba datang pula satu peringatan memberitahu bahawa kebiasaan kita itu tidak benar, menyeleweng dan jauh dari panduan agama… kita akan cepat melenting, marah dan menyampah.

Apatah lagi sememangya selama ini terkenal sebagai juru dakwah yang popular.
Berceramah pula di masjid dan surau.
Maka pasti si juru dakwah itu segera mencari sebanyak mungkin kitab dan dalil untuk menghalalkan kebiasaan yang dia
lakukan itu.

Ahh.. mana boleh pendakwah seperti aku ditegur, malulah aku.
Maka dicapailah pelbagai kitab mencari dalil menghalalkan perbuatannya.
Bila tidak bertemu, dicarikan pula pendapat-pendapat yang ‘gharib/asing’ walaupun dari sumber-sumber yang tidak diyakini, asalkan mampu untuk menjadi hujah pelepas dari teguran yang diberikan.

Janganlah bersikap demikian ya akhi wa ukhti.
Renungkan seketika majlis perkahwinan itu.
Benarkah itu majlis yang dirahmati Allah ataupun dibenci oleh Allah?

Jawablah dengan hatimu berpandukan kepada Nas yang benar lagi sahih.
Sengaja tidak ditaburkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam artikel ini (walaupun dalilnya terlampau banyak) supaya anda dapat menilai dengan penuh berhati-hati majlis pernikahan itu dengan hati nuranimu yang suci itu.

Jangan sampai pada suatu hari nanti, kegembiraan yang dinikmati bertukar menjadi satu penyesalan yang tidak terperi.
Tatkala seluruh harta, sahabat handai dan kaum keluarga tidak lagi mampu menjadi pendinding dan hujah bagi dirimu…
Yang ada hanyalah iman yang senipis bawang itu.
Mampukah untuk menepis dosa bertimbun yang tiba kerana kealpaan mengikuti arahanNya di hari pernikahan tersebut?

Ingatlah kembali firman Allah dalam Surah Syuaara ayat ke 88 : iaitu di hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak.

Adakah berani kita berbetah pada hari tersebut dengan hujah yang rapuh seperti mengatakan terpaksa mengikut permintaan ibu dan ayah , kaum kerabat serta sahabat handai, walaupun kita tahu permintaan untuk bersolek tebal, bersanding di hadapan orang ramai, adegan mencium, bergambar dengan posing-posing yang sulit, itu semua jauh dari panduan Islam?

Namun, jika anda yakin mampu berhujah dan memberikan alasan di hadapan Tuhan Rabbul Jalil, silakanlah melakukannya. ..



Penutup
Tugas seorang pendakwah ialah menyampaikan ilmu yang dipelajarinya untuk kembali kepada Allah.
Tidak lebih dari itu.

Samada perkara yang disampaikannya mampu mengubah orang yang mendengar dan membaca, itu bukannya kerja pendakwah.
Itu kerja Allah.

Jangan pula timbul celaan dan kata nista selepas ini kepada orang yang menyampaikan seruan Islam ini, hanya kerana terkena pada batang hidung sendiri.

Apatah lagi mengherdik dan memerli dengan kata-kata yang pedih lagi menyakitkan seperti 
, “Ko tak menikah lagi, bolehlah sembang. Tengok ar nanti bila ko kahwin…Macamana pula gayanya!” sambil tersenyum sinis bercampur geram.

Dan jangan pula bertindak mendoakan agar si pendakwah turut terjerumus dalam dosa yang sama supaya bila si pendakwah itu terbuat dosa yang sama, maka bolehlah diejek dan ditempik sekuat mungkin hingga di dengar seluruh penghuni dunia ” Ceh, cakap orang lebih, kau pun sama aje!” dan berlalu dengan perasaan puas dan gembira…. kerana dendamnya telah berbalas.

Sesungguhnya, Aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

(Q 72 : 22)

Friday, March 2, 2012

Kisah Ka’ab bin Malik



Kita umat Islam, selaku penggerak dakwah Islamiyyah perlu berusaha bersungguh-sungguh, bermujahadah bagi menunaikan amanah dakwah yang tertanggung di atas bahu setiap kita. Amal Islami, amal jamaei serta amal Ijtimai perlu kita gembeling tenaga, harta dan jiwa untuk melaksanakannya.

Budaya-budaya seperti bermalas-malas, bertangguh, sambil lewa, acuh tak acuh dan segala sepertinya itu perlu dibuang dan dikikis dalam diri kita. Budaya-budaya tersebut mampu membuatkan kita tercicir (futur) dari jalan dakwah. Kita saling mengetahu bahawa iman kita manusia biasa adalah bersifat bertambah dan berkurang. Maka tatkala iman itu lemah, bisikan-bisikan yang melemahkan keseriusan dan komitmen kita terhadap perjuangan akan bertubi-tubi datang. Perjuangan Islam perlu kepada keseriusan dan komitmen yang berterusan.

Hal ini pernah berlaku kepada beberapa orang sahabat Nabi, yang juga peristiwa ini tercatat di dalam al-Quran, surh at-Taubah ayat 118:

Maksudnya:
Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. “

Kisah Ka’ab bin Malik dalam perang Tabuk ini sudah tidak asing lagi bagi para daei dan pejuang-pejuang dakwah Islamiyyah. Kisah bagaimana Ka’ab bin Malik serta dua lagi sahabat yang ditangguh penerimaan taaubat mereka akibat tidak turut berperang bersama kaum Muslimin dalam peperangan Tabuk memberi banyak pengajaran kepada kita.

Ka’ab bin Malik menceritakan halnya:

“Aku sama sekali tidak pernah terlepas mengikuti semua peperangan bersama RasuluLLAH, kecuali dalam perang Tabuk. Perihal ketidakikutsertaanku dalam perang Tabuk itu adalah kerana kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia, ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Demi ALLAH, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memikinya.

Sungguh, tidak pernah RasuLLAH SAW merencanakan suatu peperangan melainkan beliau merahasiakan hal itu, kecuali pada perang Tabuk ini. Peperangan ini, berlaku dalam keadaan panas terik matahari gurun yang sangat menyengat, menempuh perjalanan teramat jauh, serta menghadapi lawan yang benar-benar besar dan kuat.
RasuluLLAH SAW mempersiapkan pasukan yang akan berangkat. Aku pun mempersiapkan diri untuk ikut serta, tiba-tiba timbul fikiran ingin membatalkannya, lalu aku berkata dalam hati, “Aku boleh sahaja (tidak ikut) kalau aku mahu!”

Akhirnya, aku terbawa oleh fikiranku yang ragu-ragu, hingga pasukan kaum Muslimin mulai meninggalkan Madinah.Apabila aku melihat pasukan Muslimin mulai meninggalkan Madinah, maka timbul fikiranku untuk mengejar mereka, sementara mereka belum jauh. Namun, aku tidak melakukannya, kemalasan menghampiri dan bahkan menguasai diriku.

Nampaknya aku ditakdirkan untuk tidak ikut. Akan tetapi, aku merasakan pjiwaku menderita sejak RasuluLLAH SAW meninggalkan Madinah. Apabila aku keluar rumah, maka di jalan-jalan aku merasakan terpencilnya diriku kerana aku tidak melihat orang kecuali orang-orang yang diragui keislamannya. Mereka adalah orang-orang yang sudah mendapatkan rukhshah atau izin ALLAH Ta’ala kerana uzur atau kalau tidak demikian maka mereka adalah orang-orang munafik. Padahal, aku merasakan bahwa diriku tidak termasuk keduanya.

Kononnya, RasuluLLAH tidak menyebut-nyebut namaku sampai ke Tabuk. Setibanya di sana, ketika baginda sedang duduk-duduk bersama sahabatnya, beliau bertanya, “Apa yang dilakukan Ka’ab bin Malik?”
Seorang dari Bani Salamah menjawab, “Ya RasuluLLAH, ia ujub pada keadaan dan dirinya!” Mu’az bin Jabal menyangkal, “Buruk benar ucapanmu itu! Demi ALLAH, Ya RasuluLLAH, aku tidak pernah mengerti melainkan kebaikannya saja!” RasuluLLAH SAW hanya diam sahaja.

Beberapa waktu setelah berlalu, aku mendengar RasuLLAH SAW kembali dari medan jihad Tabuk. Pelbagai bisikan, desakan dan dorongan yang menyeru aku untuk membawa alasan palsu ke hadapan RasuluLLAH SAW, bagaimana caranya supaya tidak terkena marahnya? Aku minta pandapat dari beberapa orang keluargaku yang terkenal berfikiran baik. Akan tetapi, ketika aku mendengar Nabi SAW tiba di Madinah, lenyaplah semua fikiran jahat itu. Aku merasa yakin bahwa aku tidak akan dapat menyelamatkan diri dengan kebatilan itu sama sekali. Maka, aku bertekad untuk menemui RasuluLLAH SAW dan mengatakan hal sebenarnya.

Pagi-pagi lagi, RasuluLLAH SAW memasuki kota Madinah. Sudah menjadi kebiasaan, sesudah baginda kembali dari suatu perjalanan, pertama sekali baginda masuk ke masjid dan bersolat dua rakaat. Demikian pula kepulangan dari Tabuk,setelah selesai solat baginda kemudian duduk melayani tetamunya. Lantas, datanglah orang-orang yang tidak ikut perang Tabuk dengan membawa alasan masing-masing diiringi sumpah palsu untuk menguatkan alasan mereka. Jumlah mereka kira-kira lapan puluhan orang. RasuluLLAH SAW menerima alasan lahir mereka; dan mereka memperbaharui baiat setia mereka. Baginda memohon keampunan bagi mereka dan menyerahkan soal batinnya kepada ALLAH. Kemudian tibalah pula giliranku, aku datang mengucapkan salam kepada baginda. Baginda membalas dengan senyuman pula. Namun jelas terlihat bahawa senyuman baginda itu adalah senyuman yang memendam rasa marah. Beliau kemudian berkata, “Kemarilah!”

Aku pun menghampirinya, lalu duduk di hadapannya. Beliau tiba-tiba bertanya, “Wahai Ka’ab, mengapa dirimu tidak ikut? Bukankah kau telah menyatakan baiat kesetianmu?”

Aku menjawab, “Ya RasuluLLAH! Demi Allah. Kalau duduk di hadapan penduduk bumi yang lain, tentulah aku akan berhasil keluar dari amarah mereka dengan berbagai alasan dan dalil lainnya. Namun, demi ALLAH. Aku sedar kalau aku berbohong kepadamu dan engkau pun menerima alasan palsuku, aku khuatir ALLAH akan membenciku. Akan tetapi jika aku bbericara jujur, kemudian kerana itu engkau marah kepadaku, sesungguhnya aku berharap ALLAH akan mengampuni kealpaanku. Ya RasuluLLAH, demi ALLAH, aku tidak punya uzur. Demi ALLAH, keadaan ekonomiku aku tidak pernah stabil dibanding tatkala aku mengikutimu itu!”

RasuluLLAH berkata, “Kalau begitu, tidak salah lagi. Kini, pergilah kamu sehingga ALLAH menurunkan keputusan-Nya kepadamu!”

Aku pun pergi diikuti oleh orang-orang Bani Salamah. Mereka berkata kepada, “Demi ALLAH. Kami belum pernah melihatmu melakukan dosa sebelum ini. Kamu nampaknya tidak mampu membuat-buat alasan seperti yang lain, padahal dosamu itu akanh terhapus oleh permohonan ampun RasuluLLAH!”
Mereka terus saja menyalahkan tindakanku itu hingga ingin rasanya aku kembali menghadap RasuluLLAH untuk membawa alasan palsu, sebagaimana orang lain melakukannya.

Aku bertanya kapada mereka, “Apakah ada orang yang senasib denganku?”
Mereka menjawab, “Ya! Ada dua orang yang jawapannya sama denganmu. Sekarang mereka berdua juga mendapat keputusan yang sama dari RasuluLLAH sebagaimana keadaanmu sekarang!”
Aku bertanya lagi, “Siapakah mereka itu?”

Mereka menjawab, “Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi.”
Mereka menyebutn dua nama sahabat yang pernah ikut serta dalam perang Badar. Sebaik sahaja mereka menyebut nama dua sahabat tadi, aku bergegas pergi menemui mereka.

Tak lama setelah itu, aku mendengar RasuluLLAH melarang kaum muslimin berbicara dengan kami bertiga, di antara lapan puluhan orang yang tidak ikut dalam perang tersebut.

Kami memencilkan diri daripada masyarakat umum. Sikap mereka sudah lain kepada kami sehingga rasanya aku hidup di suatu negeri yang lain dari negeri yang aku kenal sebelumnya. Kedua rakanku itu berkurung di rumah masing-masing menangisi nasib diri, tetapi aku yang paling kuat dan tabah di antara mereka. Aku keluar untuk solat berjamaah dan keluar masuk pasar sekalipun tiada seorang pun yang mahu berbicara denganku atau mendengar bicaraku. Aku juga datang ke majilis RasuluLLAH sesudah baginda bersolat. Aku mengucapkan salam kepada beliau, dan hati kecilku tertanya-tanya sambil memperhatikan bibir baginda, “Apakah baginda menggerakkan bibirnya menjawab salamku atau tidak?”

Aku juga bersolat dekat sekali dengan baginda. Aku mencuri pandang melihat pandangan beliau. Kalau aku mahu bangun bersolat, RasuluLLAH melihat kepadaku. Namun, apabila aku melihat kepadanya, RasuluLLAH cepat-cepat memaling wajahnya dariku. Sikap dingin masyarakat kepadaku terasa lama sekali. Pada suatu hari, aku mengetuk pintu paga Abu Qatadah, saudara bisanku dan ia adalah saudara yang paling aku cintai. Aku mengucapkan salam kepadanya, tetapi demi ALLAH, ia tidak menjawab salamku.

Aku menegurya, “Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama ALLAH, apakah kau tahu bahawa aku mencintai ALLAH dan Rasul-Nya?”

Dia diam. Aku mengulangi permohonanku itu, namun ia tetap terdiam. Aku mengulangi permohonanku itu, namun ia tetap terdiam. Aku mengulanginya sekali lagi, tapi ia hanya menjawab, “ALLAH dan Rasul-Nya lebih tahu!”
Air mataku tidak tertahankan lagi. Kemudian aku kembali dengan penuh rasa kecewa.
Pada suatu hari, aku berjalan-jalan ke pasar kota Madinah. Tiba-tiba datanglah orang awam dari negeri Syam. Orang itu biasanya mengantarkan barang dagangan ke kota Madinah. Dia bertanya, “Siapakah yang mahu menolongku menemui Ka’ab bin Malik?”

Orang-orang di pasar itu menunjuk kepdaku, lalu orang itu datang kepadaku dan menyerahkan sepucuk surat kepadaku dan menyerahkan sepucuk surat dari Raja Ghassan. Setelah kubuka, isinya sebagai berikut, “… Selain dari itu, bahawa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu. ALLAH tidak menjadikan kau hidup terhina. Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan, kami akan menghiburkan mu dan memberi kekayaan kepada mu!” 
[Nota: Raja Ghassan adalah antara raja-raja yang dikirimi surat oleh RasuluLLAH. Raja Ghassan menolak surat nabi dengan kasar. Utusan yang dikirim Nabi dibunuh dengan kejam oleh raja Ghassan.]

Hatiku berkata ketika membaca surat itu, “Ini juga salah satu ujian!” Lalu aku memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.

Pada hari yang ke-40 pemulauan di kampung halaman sendiri, ketika aku menanti-nantikan turunnya wahyu tiba-tiba datanglah kepadaku seorang utusan RasuluLLAH menyampaikan pesannya, “RasuluLLAH memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!”

Aku semakin sedih, namun aku juga semakin pasrah kepada ALLAH, hingga terlontar pertanyaanku kepadanya, “Apakah aku harus menceraikannya atau apa yang akan ku lakukan?”

Dia menjelaskan, “Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan menjauhkannya dari dirimu!”
Fikirku Rasulullah juga sudah mengirimkan pesanannya kepada dua sahabat yang senasib denganku. Aku segera memerintahkan kepada isteriku, “Pergilah kamu kepada keluargamu sehingga ALLAH memutuskan hukumannya kepada kita!”

Isteri Hilal bin Umaiyah pergi menghadap RasuluLLAH lalu dia bertanya, “Ya RasuluLLAH, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sudah sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Apakah ada keberatan kalau aku melayaninya di rumah?”

RasuluLLAH menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”
Isteri Hilal menjelaskan, “Ya RasuluLLAH! Dia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi ALLAH, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”

Ada seorang ahli keluargaku yang juga mencadangkan, “Cubalah minta izin kepada RasuluLLAH supaya isterimu melayani dirimu seperti isteri Hilal bin Umayah!”

Aku menjawab tegas, “Tidak Aku tidak akan minta izin kepada RasuluLLAH tentang isteriku. Apa katanya kelak, sedangkan aku masih muda?”

Akhirnya, hari-hari selanjutnya aku hidup seorang diri di rumah. Lengkaplah bilangan malam sejak orang-orang dicegah berbicara denganku menjadi 50 hari 50 malam. Pada waktu sedang solat subuh di suatu pagi, ketika aku sedang dudung berzikir minta ampun dan mohon dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini, tiba-tiba aku mendengar teriakan orang-orang memanggil namaku. “Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah! Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”

Sebaik sahaja mendengar berita itu aku, aku terus sujud memanjatkan syukur kepada ALLAH. Aku yakin pembebasan hukuman telah dikeluarkan. Aku yakin, ALLAH telah menurunkan keampunan-Nya dan menerima taubatku.

RasuluLLAH menyampaikan berita itu kepada sahabat-sahabatnya setelah selesais soat subuh bahwa ALLAH telah mengampuni aku dan dua orang sahabatku. Berlumba-lumbalah orang mendatangi kami, hendak menceritakan berita gembira itu. Ada yang datang dengan berkuda, ada pula yang datang dengan berlari dari jauh mendahului yang berkuda. Sesudah keduanya sampai di hadapanku, aku berikan kepada dua orang itu kedua -dua pakaian yang aku miliki. Demi ALLAH, saat itu aku tidak memiliki pakaian kecuali yang dua itu.

Aku mencari pinjaman pakaian untuk menghadap RasuluLLAH. Ternyata aku telah disambut orang ramai dan dengan serta-merta mereka mengucapkan selamat kepadaku. Demi ALLAH, tidak seorang pun dari muhajirin yang berdiri dan memberi ucapan selamat selain Thal’ah. Sikap Thalhah itu tak mungkin aku lupakan. Sesudah aku mengucapkan salam kepada RasuluLLAH, mukanya tampak cerah dan gembira, kemudian baginda berkata,

“Bergembiralah kau atas hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kau dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari ALLAH ataukah dari engkau ya RasuluLLAH?” tanyaku dengan penuh sabar.

“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari ALLAH!” jawab RasuluLLAH.
Demi ALLAH, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat ALLAH kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada RasuluLLAH.”

Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya (a-taubah :118) itu dengan penuh teraru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepada-Nya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima
taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)

Kisah Ka’ab ini merupakan sebahagian daripada episod dalam kisah Perang Tabuk. Ka’ab merupakan salah seorang daripada 3 mukmin yang tidak turut serta dalam kempen itu walaupun berkemampuan.

Mereka mengakui kesilapan itu dengan tidak mengemukakan apa-apa alasan apabila disoal oleh Rasul sekembalinya tentera dari kempen itu dan hanya mengaku bersalah dengan jujur. Ini bertentangan dengan golongan Munafiqin yang tidak turut serta tetapi mengemukakan pelbagai alasan untuk melepaskan diri. RasuluLLAH tetap menerima alasan mereka walaupun tahu tentang kemunafiqan mereka. Taubat Kaab diceritakan dalam Surah Taubah, ayat 118. Terdapat juga sekumpulan yang betul-betul uzur dan terlepas daripada menyertai kempen ini. Golongan ini dihuraikan dalam Surah Taubah, ayat 91.

Ka’ab dan dua lagi mukmin ini (Mararah al Rabi’, Hilal b Umaiyah) dihukum boikot oleh ALLAH SWT sehingga ALLAH SWT menerima taubat mereka. Dan ALLAH menerima taubat mereka pada waktu Subuh selepas berlalu malam yang ke-50.

Dalam tempoh boikot yang tidak diketahui hujungnya itu, Ka’ab menanggung beban dugaan yang sungguh besar.

Antaranya:
1) Orang-orang mukmin dilarang mutlak daripada berurusan dengan mereka, hatta menjawab salamnya sekalipun.
2) Isteri-isteri mereka diasingkan daripada mereka bermula dari malam yg ke-40.
3) Raja Ghassan cuba untuk menghasut Ka’ab menyertai mereka serta dijanjikan dengan habuan jika meninggalkan barisan saf muslimin.
4) Cubaan untuk kekal dalam iman walaupun dihukum untuk tempoh yang tidak pasti (boleh jadi diboikot sehingga akhir hayat mereka)

Pemulauan ini diangkat oleh ALLAH dengan turunnya ayat 118 surah at-Taubah dankeindahan ukhuwwah dalam kalangan orang-orang beriman jelas terpancar apabila seluruh Madinah bergembira ketika ayat itu diturunkan. Mereka berkejaran mendapatkan Ka’ab untuk memaklumkan penerimaan taubatnya dan ukhuwwah mereka bersambung kembali.

Daripada sirah di atas, cubalah kita bandingkan dengan keadaan diri kita. Bagaimana Ka’ab bin Malik dihukum, berpunca daripada sikapnya yang berlengah-lengah, leka dan bermalas-malasan ketika seruan jihad dilaungkan. Bukan aku bermaksud mahu merendah-rendahkan Ka’ab bin Malik, kerana jika dibandingkan dengan beliau, iman kita tidak sampai ke mana. Andaikata iman Ka’ab itu sehebat kuda perang, maka iman aku tidak sekali-kali akan menyamai iman beliau sekalipun hanya sebesar debu yang melekat pada kaki kuda perang tersebut.

Cuba kita hubungkan dengan kehidupan. Jika Ka’ab bin Malik tidak ikut serta berperang, cuba kita hubungkan dengan amanah-amanah kita. Bagaimana sikap kita ketika mendapat seruan untuk berdakwah? Bagaimana sikap kita ketika menerima amanah? Apakah kita bersegera untuk melaksanakannya? Apakah sebaliknya kita merasa enggan, malas dan akhirnya tidak melaksanakan amanah itu seperti kisah Ka’ab bin Malik?

Keadaan yang dialami Ka’ab bin Malik saat itu adalah contoh keadaan ketika mengalami futur, ketika kondisi keimanannya lemah. Ka’ab bukan termasuk golongan orang munafik yang menguzurkan dirinya untuk tidak ikut perang dengan berbagai alasan. Tetapi beliau jujur kepada RasuluLLAH menyedari kesalahannya dan bertaubat. Beliau segera BANGKIT dari kondisi futurnya dan ikhlas menerima hukuman apapun.

Bagaimana dengan diri kita? Apakah kita akan menguzurkan diri kita dengan berbagai alasan ketika kita diberi amanah, padahal alasan sebenarnya kerana kemalasan kita.Apakah kita akan menyalahgunakan kepandaian kita untuk membuat-buat alasan. Apakah kita sering mengelak untuk datang mesyuarat, bengkel, liqa’, tamrin, usrah dan sebagainya tanpa alasan yang syar’ei kerana kita malas atau mendahulukan perkara lain yang tidak penting. Atau mungkin datang tapi sengaja lewat kerana berlengah-lengah, tanpa sebarang keuzuran?

Padahal dalam sebuah ayat Al Qur’an, kita disuruh untuk berangkat jihad dalam keadaan merasa berat mahupun ringan (lihat surah At-Taubah :41-49).

Aku menyeru kepada diriku dan sahabat-sahabat semua agar kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah di atas bagi memperbaiki prestasi gerak-kerja kita dalam dakwah dan jamaah.




Sunday, November 20, 2011

Sumbangan Sempena PRIMA



Alhamdulillah..
Alhamdulillah..
Allhamdulillah..

Assalamualaikum wbt khas saya ditujukan buat pembaca sekalian..bersyukur kehadrat Ilahi dengan InayahNya masih berada dalam nikmat Iman dan Islam yang tidak terhingga nilainya..Salam dan selawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW..

Alhamdulillah, kali ni saya berpeluang untuk post something dekat entri..entri kali lebih berkisar tentang program yang bakal saya dan perwakilan mahasiswa kolej kediaman 3 jalankan tidak lama lagi..insyaALLAH, biiznillah, Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 3 (PeKa 3) Universiti Malaysia Pahang dengan kerjasama Student Affairs and Alumni Department (SAffAD) dan Majlis Pengetua akan mengadakan Program Jelajah Masyarakat Pribumi Malaysia (PriMa)..program ni akan dijalankan pada 2-4 Disember 2011..

Jadi kami dari PeKa 3 UMP mengharapkan sumbangan ikhlas tuan/puan/encik/cik  bagi menjayakan lagi program kami kali ni..Antara sumbangannya adalah :

- BUKU
- DUIT
- PAKAIAN TERPAKAI
- PERALATAN TULIS
-BEKAS MAKANAN 
(tupperware)
dan sebagainya


Butiran untuk sumbangan :

Tempat : Bilik Gerakan Perwakilan  Mahasiswa Kolej Kediaman 3 ,UMP
Tarikh : 18 Nov 2011 - 1 dis 2011
Masa : 10 am - 11.30 pm

Jika berminat untuk memberikan sumbangan atau untuk meyumbangkan barang-barang anda melalui post, bolehlah terus mengahantar kepada :

NORHASLINDA BT. HAMIDON,
BLOK C1 GF 04 KOLEJ KEDIAMAN 3,
UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG,
26300 KUANTAN
PAHANG DARUL MAKMUR.


Jika terdapat sebarang kemusykilan/pertanyaan, bolehlah terus menghubungi :

1. Cik Norhaslinda Binti Hamidon : 013-4659578
2. Muhammad Zahid Bin Nazaruddin : 014-2329579

Sumbangan dan sokongan anda terhadap program ini amatlah kami hargai, dan kami dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.










Wednesday, November 2, 2011

Rasulullah Tauladan Sepanjang Zaman


Kisah Rasulullah Sebagai Pengajaran


1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga..

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah. Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?

6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini? Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'

Tuesday, November 1, 2011

Rasulullah dengan Sebiji Limau


Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda.

Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda.

Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka
bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu,
sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut.

Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya. "Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya.

Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Kawan-kawanku

Puteraku

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Wedding

Daisypath Anniversary tickers

Engagement

Daisypath Anniversary tickers

Doa Rabitah

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu dan bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu.

Oleh itu Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukilah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu.

Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami."