Wednesday, October 14, 2009

Ziarah Madinah




JABAL Uhud atau Bukit Uhud berwarna kemerah-merahan terletak lima kilometer (km) ke utara Kota Madinah. Ia memanjang membatasi kawasan syuhada Uhud.

Terdapat satu bulatan besar atau roundabout besar dibina di sekeliling perkuburan syuhada Uhud. Di belakangnyalah terletak bukit yang kemerah-merahan di kenali sebagai Jabal Uhud manakala di dalam bulatan besar itu terletak perkuburan syuhada, Bukit Rumah iaitu bukit yang ditempatkan 50 orang pemanah dan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Uhud.

Di kawasan masjid inilah Saidina Hamzah terbunuh dan gugur syahid. Beliau dikebumikan di tempat jasadnya terbunuh. Selain Saidina Hamzah dua kibarul muslimin antaranya Abdullah ibn Jubair al-Ansari (ketua barisan pemanah) dan Mus'ab ibn Umair (pemegang panji-panji Islam).

Hampir 70 orang sahabat terbunuh, enam di kalangan mereka dari Muhajirin dan bakinya dari al-Ansar.

Ketika pasukan pemanah turun dari Bukit Rumah kerana menyangkakan perang sudah tamat, pasukan berkuda yang dipimpin Khalid ibn Walid dan Ikrimah ibn Jahal telah membunuh baki tentera pemanah di atas bukit rumah. Lantaran itu, tentera muslimin terkepung dari sebelah depan dan belakang (barat daya).

Ketika perang berkecamuk inilah, sahabat Rasulullah merapatkan barisan, membentengi Rasullullah. Saidina Hamzah telah dilembing oleh tentera musuh. Abdullah ibn Zubair telah dibunuh di atas bukit Rumat mempertahankan amanat baginda SAW.

Pada ketika itulah, Mus'ab ibn Umair mempertahankan Rasulullah. Tangan kanannya terputus akibat ditetak oleh musuh. Beliau menggunakan tangan kirinya untuk berlawan. Terputus tangan kirinya, beliau menggunakan kedua-dua lengannya untuk memegang panji-panji Islam.

Tatkala Rasulullah terperosok akibat tentangan musuh dan hampir-hampir dipenggal oleh tentera musyrikin, Mus'ab membantingkan badannya untuk melindungi Rasulullah daripada dibunuh. Maka terbunuhlah Mus'ab ibn Umair, syahid mempertahankan nyawa semulia-mulia makhluk. Lalu panji-panji itu disambutlah oleh Ali Karamallahhuwajhah.

Sahabat-sahabat Nabi membawa baginda berundur ke belakang lalu terus menaiki Bukit Uhud. Bukit Uhud bergoyang kerana malu tubuhnya dinaiki makhluk yang paling mulia. Bersabdalah Nabi SAW: "Isbat ya Uhud". Tetaplah engkau wahai uhud. Bukankah makhluk yang paling mulia berada di atasmu bersama shahidain (dua sahabat yang akan syahid iaitu Umar dan Uthman).

Setelah berundur di atas Bukit Uhud, Rasulullah di tempatkan di sebuah gua yang kecil yang hanya menempatkan empat orang di dalamnya. Rasulullah saw terbaring tidak sedarkan diri manakala para sahabat berkubu di bawah bukit bagi menyekat serangan kaum musyrikin.

Setelah peperangan reda tentera Muslimin balik ke Kota Madinah dan pada awal paginya mereka menghalau tentera Musyrikin hingga ke Hamra' al-Asad.

Masjid Al-Qiblatain

Masjid ini merupakan tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah terletak kira-kira di barat laut Kota Madinah. Masjid ini diberi nama Qiblatain sempena peristiwa turunnya wahyu dari Allah swt agar Rasulullah saw menukarkan kiblatnya dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram.

Peristiwa turunnya ayat wahyu Allah saw ketika Baginda sedang solat zohor pada rakaat yang kedua. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 144 "Maka sesungguhnya kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke aras Masjidil Haram..."

Rasulullah saw segera mengubah arah kiblat dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu mengadap ke baitullah berbetulan dengan al-Mizan (Pancur Emas). Lantaran itu, pada waktu Asar semasa di Masjid Nabawi, Rasullah SAW membetulkan kiblatnya setentang dengan Masjidil Haram.

Masjid Tujuh atau Khanda'

Salah satu tempat yang perlu dilawati oleh jemaah haji ialah masjid tujuh atau tempat berlakunya perang khanda'. Masjid tujuh ini terletak di atas Bukit Sila'. Tujuh Masjid ini dibina di atas tujuh khemah perkubuan sahabat.

Perang Khanda' ini berlaku pada bulan Syawal tahun ke lima hijrah. Rasulullah SAW menerima pandangan Salman al-Farisi untuk membina parit besar. Panjangnya lebih kurang 2.5 km, lebarnya empat meter dan dalamnya tiga meter.

Musyrikin Mekah datang dari arah selatan Kota Madinah tetapi terpaksa menuju ke utara kota ini kerana bahagian selatan dipenuhi oleh bukit-bukau. Strategi Khanda' inilah yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menentang tentera Ahzab.

Ketika saat genting inilah Yahudi Bani Quraizah mengkhianati Nabi. Nabi memerintahkan sekumpulan sahabat memerangi mereka. Seramai 600 sahabat diketuai oleh Saidina Ali mengepung dan menawan mereka.

Ketika tiada perubahan dan saat semakin genting, tiada apa-apa perubahan beberapa sahabat termasuk Salman dan seorang sahabat lagi yang baru masuk Islam memohon keizinan Rasulullah SAW untuk memecah-belahkan musuh dengan meniupkan perasaan curiga mencurigai.

Apakah jaminan engkau bahawa kaum musyrikin tidak akan meninggalkan engkau jika mereka kalah memerangi Muhammad kata sahabat ini. Pemimpin Bani Quraizah pantas meminta jaminan kepada Abu Sufian. Sebelum itu, Abu Sufian telah dihasut bahawa Bani Quraizah telah belot kepada Rasulullah dan akan datang meminta jaminan. Maka sahlah khabar dari sahabat nabi ini maka mulalah terpecahnya benteng kepercayaan tentera Ahzab.

Sementara itu, Rasulullah berulang-alik ke tempatnya bermunajat. Kali ketiga baginda SAW bermunajat lalu baginda bersembahyang dua rakaat memohon pertolongan Allah.

Lantaran itu, Allah kabulkan permintaan baginda lalu dikirimkan ribut pasir sehingga kaum musyrikin ketakutan dan bertempiaran lari ke Mekah.

Rumusan

Demikianlah, kisah-kisah tempat bersejarah yang boleh dilawati oleh bakal-bakal haji. Terdapat banyak lagi tempat bersejarah dan menarik untuk dilawati dan dihayati kisahnya oleh bakal-bakal haji di antaranya perigi Uthman yang berhampiran dengan Masjid Quba' dan Khal'ah berhampiran masjid Jumuah.

Semoga menziarahi Madinah ini menepati hadis Nabi yang bermaksud: "Kembalinya iman di Madinah itu seperti kembalinya ular ke sarang." Wallahu a'lam.

Petikan diambil dari Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Kawan-kawanku

Puteraku

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Wedding

Daisypath Anniversary tickers

Engagement

Daisypath Anniversary tickers

Doa Rabitah

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu dan bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu.

Oleh itu Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukilah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu.

Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami."